Monday, July 30, 2012

Soal Melayu | Misha Omar Tunda Pernikahan Demi Kerjaya Firos

Misha Omar Tunda Pernikahan Demi Kerjaya Firos | Memang banyak kontroversi yang perlu dilalui penyanyi dan pelakon Samiha @ Aisah Omar, 30, atau lebih dikenali dengan panggilan Misha Omar. Sewaktu pada awal kemunculannya dalam bidang seni suara dahulu, terdapat spekulasi yang mengatakan dia merupakan penyanyi yang sebenarnya sudah bergelar seorang janda.
Selain itu, artis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bergelar jutawan dan dikatakan menjadi isteri ketiga. Segala kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Misha Omar itu berakhir sebaik sahaja dia mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Firos Ezzwan Rossly, 30, yang merupakan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 21 Februari lalu.


Berlangsung dalam satu majlis yang serba ringkas di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Misha dan Firos telah sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini. Namun begitu, beberapa bulan selepas mengikat tali pertunangan Misha telah mengumumkan terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka lantaran kesibukan jadual masing-masing.

Ketika ditanya sama ada dia sudah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga, Misha yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Shiseido di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini menyatakan belum ada sebarang keputusan yang dibuat. Ikut perancangan mereka mahu berumah tangga secepat mungkin. Namun setelah berbincang dengan tunangnya, akhirnya mereka bersepakat untuk menangguhkan perkahwinan pada satu tarikh yang belum ditentukan lagi.

Kata Misha, tunangnya kini agak sibuk menjalani kursus penerbangan selama enam bulan. Sebaik sahaja Firos tamat menjalani kursus, barulah mereka akan mencari tarikh yang sesuai, namun dia tetap berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan.

Menurut Misha, keputusan yang telah dibuat itu turut menimbulkan persoalan ramai pihak termasuk kedua-dua ahli keluarga. Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sedang bermasalah. Bagaimanapun, dia lantas menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan keputusan yang dibuat itu langsung tidak berkaitan dengan hubungan mereka, sebaliknya ia disebabkan jadual kerjaya masing-masing yang agak padat.

“Ketika ini Firos sedang sibuk menjalani kursus penerbangan mengendalikan pesawat Airbus 380 MAS, jadi dia memerlukan komitmen yang tinggi sekarang dan saya mahu dia memberi sepenuh tumpuan kepada kursusnya. Jadi, kalau ada yang mengatakan hubungan kami bermasalah sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Segala kisah yang timbul itu saya abaikan dan sudah lali kerana sebelum ini pun sudah pernah timbul cerita kurang baik mengenai diri saya,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

    Blogger news

    Blogroll

    About

    best of the best blog denaihati Banner best of the best blog denaihati Banner best of the best blog denaihati Banner